Surah khusus untuk manusia

Kehidupan.
Memang dijadikan Allah penuh ujian.
Ujian dalam menunaikan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.
Itu sahaja yang diperintahkan Allah.
Tetapi kita manusia selalu alpa.
Selalu lalai dengan dunia yang penuh fantasi pancaroba ini.

Jesteru itu Allah kurniakan kita Al-Quran.
Pedoman hidup di dunia ini.
Jika kita beli sesuatu barang, kita diberi manual untuk menggunakannya.
Al-Quran adalah manual kehidupan kita.
Di dalamnya terdapat semua tips-tips kehidupan.
Hanya kita perlu menghayati dan mengambil iktibar.
Bukan sekadar baca hafal dan simpan.

Malah, terdapat satu surah yang khusus untuk manusia.
Surah An-Nas.
Antara surah yang terpendek didalam al-quran.
Yang sedari kecil kita menghafalnya.

An-Nas.
Bermaksud manusia.
Tetapi Al-Quran bukan seperti buku yang ditulis oleh manusia.
Surah An-Nas bukanlah menceritakan tentang anatomi, fisiologi dan psikologi manusia.
Ia hanya mempunyai 6 ayat.
Jom kita telusuri apa yang Allah ingin sampaikan kepada kita dalam surah yang khusus untuk manusia ini.

Surah ini mempunyai 6 ayat.
Ianya terbahagi kepada 2 perkara penting yang Allah ingin sampaikan kepada manusia.
3 ayat pertama menerangkan tentang tuhan kita; Allah swt
Dan 3 ayat terakhir menerangkan tentang musuh manusia; syaitan.
Sungguh, Al-Quran ini diturunkan dari Allah.
Surah yang diberi nama manusia, tapi tidak langsung menceritakan kejadian manusia.
Subhanallah.

Ok, berbalik semula kepada 3 ayat pertama.
Saya rasa saya tidak perlu menulis ayatnya disini kerana pasti kamu semua sudah menghafalnya.
Ada 3 ayat yang menerangkan pasal Allah swt.
Ayat pertama; Allah sebagai Rabb; ayat kedua Allah sebagai malik dan ayat ketiga Allah sebagai ilah.
Rabb boleh ditafsirkan sebagai tuhan yang memberi perlindungan, rezeki, yang mengaturkan seluruh kehidupan.
Malik pula bermaksud raja, yang berkuasa, yang memimpin seluruh makhluk ciptaan-Nya.
Ilah pula dirungkaikan sebagai sembahan, yang diutamakan didalam kehidupan.

3 ayat seterusnya pula menceritakan tentang musuh manusia iaitu syaitan.
Ayat keempat menceritakan ciri syaitan itu yang bersembunyi dan membisik-bisikan didalam hati manusia.
Ayat ini memperkenalkan kita manusia kepada ciri-ciri syaitan.
Allah menceritakan kepada kita bahawa syaitan itu bersembunyi, bermaksud kita tidak dapat melihat mereka.
Allah juga menjelaskan lagi ciri-ciri mereka yang boleh membisik-bisik kedalam dada lebih spesifik lagi hati.
Ayat kelima pula, menceritakan dengan lebih terperinci apa yang syaitan lakukan iaitu membisikkan was-was.
Seperti yang dinyatakan diatas, Allah hanya menyuruh kita menunaikan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang.
Ia nya tampak mudah.
Tetapi ianya menjadi sukar kerana terdapat syaitan iblis yang telah berjanji akan menyesatkan manusia.
Mereka sangat licik untuk membolak-balikkan hati, dengan membisikkan perasaan was-was ini.
Dan ayat terakhir Allah menerangkan bahawa yang membisikkan kejahatan itu bukan hanya jin tetapi juga manusia.
Ayat ini mempunyai pelbagai tafsiran, ada yang menyatakan bahawa ianya terdiri daripada kawan-kawan kita yang menggoda kita untuk melakukan kemungkaran.
Ada juga yang menafsirkan sebagai hawa nafsu dalam diri manusia itu sendiri.

Subhanallah, indah sungguh ayat-ayat Allah itu.
Surah yang dikhususkan kepada manusia hanya mempunyai 6 ayat.
Dan ayat-ayat itu betul-betul penting untuk kita manusia agar dapat melawan musuh azali kita dan bergantung sepenuhkan kepada Allah kerana Dia lah perlinding, pemilik, penguasa yang patuh kita sembah sepenuh jiwa dan raga.



Comments