ADAB : PERANAN SIAPA?
Rakyat Malaysia digemparkan dengan berita kematian seorang pelajar tingkatan tiga akibat cedera parah dihempap kerusi pejabat yang jatuh dari bangunan bertingkat 21.
Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.
Pabila tragedi berlaku, terbukalah pekung didada bahawa perbuatan membuang sampah dari rumah tidak kira di tingkat berapa merupakan satu perkara biasa di kediaman tersebut.
Kejadian ini menunjukkan minda rakyat Malaysia masih di kelas ketiga walau negara kian membangun.
Ini bukan isu ekonomi atau politik atau bangsa atau agama.
Ini isu adab.
Atau bahasa modennya kesedaran sivik.
Tidakkan pembuang sampah itu memikirkan tentang bahaya kepada orang lain?
Tidakkan orang itu rasa bersalah menyebabkan kawasan perumahan kotor dan busuk?
Tidakkah orang itu berasa malu dengan orang yang melihat dia membuang sampah?
Semestinya jawapannya TIDAK kepada semua persoalan diatas.
Ini menjadi kayu ukur bahawa kesedaran sivik dikalangan rakyat Malaysia semakin hilang, hanya mementingkan diri sendiri dan malas!
Kesedaran sivik semakin hilang, dimana silapnya?
Jika ingin menuding jari kepada guru, sekarang sudah ada subjek sivik di sekolah.
Tapi berkesankah jika hanya anak-anak yang cuba mengamalkan ilmu yang dipelajari tetapi ibubapa dan ahli keluarga yang lain menunjukkan sikap yang sebaliknya.
Oleh itu, ilmu mengenai adab ini adalah tanggungjawab ibubapa dan keluarga.
"Anak-anak adalah kain putih, ibu bapa dan keluarga lah yang mencorakkannya."
Perangai anak-anak adalah cerminan ibubapa.
Malah Imam Malik rahimahullah pernah berkata pada seorang pemuda Quraisy,
تعلم الأدب قبل أن تتعلم العلم
“Pelajarilah adab sebelum mempelajari suatu ilmu.”
Terdapat kisah para ulama yang belajar adab selama 30 tahun tetapi belajar ilmu hanya 20 tahun.
Ini menunjukkan betapa pentingnya adab dalam kehidupan kita.
Selain ibubapa, media massa juga memainkan peranan yang besar.
Saya masih ingat, ketika di zaman kanak-kanak dahulu, terdapat iklan di televisyen berkaitan buang sampah didalam tong sampah, gotong-royong, tolong orang tua melintas dan sebagainya.
Tapi sekarang? Iklan makanan segera, tuala wanita, susu formula yang sentiasa ada.
Kenapa penulis menyatakan kepentingan iklan sivik di televisyen?Kerana iklan di televisyen sangat berkesan kepada penonton.
Malah, anak saya yang baru berusia 2 tahun turut terpengaruh dengan iklan ayam goreng dan mee segera yang berdurasi kurang 60 saat dengan menyatakan nak,nak.
Nampak tak betapa apa yang kita lihat akan mempengaruhi minda kita.
Tepuk dada tanya hati, tahun baru umur baru, bertambahkah adab didalam diri?
Comments
Post a Comment